Soal & Jawab

Soal & Jawab Minggu Ini

Photo by Yvonne Eijkenduijn on Flickr

 

TOPIK: Wajarkah Saya Digelar ”Quitter” Kerana Berhenti Belajar Universiti?

Soalan:

Assalaamualaikum. Saya seorang ibu dan mahasiswi universiti. Wajarkah saya digelar seorang “quitter” jika saya berhenti belajar supaya ada lebih masa dengan anak-anak? Jika saya berhenti, adakah keputusan ini akan menjejaskan persepsi anak-anak terhadap diri saya?
Jawapan:

Waalaikumsalaam. Terima kasih atas soalan Puan.

Tabiat manusia suka membentuk persepsi atau tanggapan tentang orang lain. Bagaimanapun biasanya tanggapan atau persepsi tersebut kurang tepat. Yang penting di sini adalah persepsi Puan terhadap diri sendiri, bukan apa yang difikirkan oleh orang lain. Sebab tiada siapa yang tahu dan memahami situasi diri Puan lebih baik dari Puan sendiri.

Berkenaan berhenti menuntut di universiti, sebelum Puan membuat keputusan, saya ingin sarankan agar Puan cuba berusaha mendapatkan cara-cara untuk mengimbang waktu dan tenaga untuk keluarga dan pelajaran.

Belajar dan sekaligus menguruskan keluarga tidak mudah. Tetapi ada cara-cara tertentu yang boleh membantu. Sesetengah tugasan boleh diserahkan kepada pihak ketiga. Umpamanya pengeringan kain (pengering automatik), menggosok (dihantar ke pusat dobi), memasak (beli sahaja buat masa ini), mencuci rumah (dapatkan pembantu separuh masa). Sokongan suami amat penting.

Satu lagi cadangan ialah untuk mengadakan perbincangan keluarga yang disertai oleh suami dan semua anak-anak. Bincangkan topik “Mama rasa sukar belajar dan menguruskan famili. Ada sesiapa yang boleh beri cadangan untuk tolong Mama? Bagaimana boleh setiap orang dalam famili kita bantu Mama?” Yang penting hasil perbincangan ini ialah, setiap ahli keluarga Puan menyokong Puan, sekurang-kurangnya dari sudut moral.

Berkaitan persepsi anak-anak: Ia tiada kaitan dengan sama ada Puan berhenti belajar ataupun tidak. Saya pernah terdengar berita tentang seorang kanak-kanak yang berkata “Bila besar nanti, saya nak jadi macam Bibik (pembantu rumahnya).” Ini kerana, pembantu rumahnya seorang yang ceria dan pandai membawa diri. Kanak-kanak sukakan orang yang berkeyakinan, ceria dan pandai membawa diri. Mereka tidak kisah sama ada orang tersebut bekerja atau tidak, pelajar universiti atau tidak, profesional atau tidak. Sebab itulah ramai bintang filem dan penyanyi dijadikan role model, sebab mereka kelihatan berkeyakinan, meskipun jika hanya di kaca TV!

Jika Puan memutuskan untuk berhenti belajar dan menceritakan pengalaman Puan secara negatif, tentunya ia akan menjadi perspektif yang negatif untuk anak-anak Puan. Umpamanya jika Puan berkata ”Besok besar jangan jadi macam Mama. I’m a quitter” tentunya anak-anak akan menganggap Puan sebaqai seorang ”quitter”. Tetapi jika Puan ambil masa untuk membincangkan hal ini secara objektif dengan anak-anak Puan, mereka lebih mudah memahami dan menerima hakikat bahawa hidup ini adakalanya tidak semudah yang kita impikan. Lebih penting, mereka juga akan menjadi dewasa satu hari nanti dan akan belajar sedikit sebanyak daripada pengalaman Puan cara-cara untuk membuat keputusan secara matang.

About Jamilah Samian

Jamilah has written 472 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top